f Blog Cikgu Yushaniza-Bahasa Melayu: November 2012

CONTOH KARANGAN PERBINCANGAN



Soalan
Hampir setiap minggu media massa memaparkan kes pembuangan bayi. Kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Telah banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk menbasmi gejala ini. Namun usaha ini tidak menampakkan hasil,malah gejala ini semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat dibendung lagi. Bincangkan punca-punca dan langkah-langkah untuk membendung gejala buruk ini.

Jawapan

Sedasawarsa ini,isu pembuangan bayi semakin hangat diperdebatkan di negara kita. Hal ini dapat dilihat menerusi pemaparan oleh media massa hampir setiap saat dan ketika,laporan kes pembuangan bayi terus kepada rakyat. Akibatnya,gejala yang tidak bermoral seperti ini seolah-olah mencerminkan sikap segelintir masyarakat Malaysia yang selama ini bertopengkan syaitan. Segelintir belia,khasnya yang merupakan pelaku utama jenayah ini,jelas memperlihatkan identiti diri mereka yang sememangnya kian rapuh dirajai nafsu. Kita sering dihidangkan dengan berita kematian bayi yang amat menyayat hati,malah terdapat segelintir yang sanggup mengepam janinnya ke dalam tangki hanya untuk melupuskan bukti kelahiran,tanpa rasa bersalah sedikitpun. Penelitian punca-punca yang menunjangi kebejatan masalah ini serta langkah-langkah yang boleh diambil akan mewarnai fokus perbincangan kita.

Kita tidak dapat menyangkal bahawa pengaruh media massa merupakan faktor perdana kepada permasalahan ini. Dalam era ledakan teknologi maklumat ini,sebarang maklumat pornografi boleh dimuat turun dengan mudah menerusi jaringan internet,tanpa perlu bersusah payah untuk mendapatkan video cakera padat di pasaran. Walau bagaimanapun,masih terdapat sesetengah saluran televisyen yang memaparkan aksi lucah yang tidak ditapis terutamanya dalam drama bersiri barat. Nilai-nilai seperti ini jelas menolak unsur ketimuran dan remaja yang sememangnya mempunyai rasa ingin tahu yang menebal akan terdorong untuk meniru aksi yang telah ditonton oleh mereka bersama pasangan berlainan jantina. Kesannya pula akan dirasai oleh si gadis kerana keterlanjuran itulah yang mengundang kepada segala permasalahan. Remaja yang tidak berfikir panjang pula akan cuba menghapuskan kelahiran luar nikah itu dengan sebarang cara sekalipun membunuh. Maka,pengaruh media massa adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi dalam menunjangi permasalahan ini.

Seterusnya,keluarga yang bermasalah juga turut menyumbang kepada permasalahan sosial ini. Hal ini telah dibuktikan menerusi satu kajian yang mengatakan bahawa rata-rata remaja yang terlibat dalam penyakit sosial ini adalah mangsa keruntuhan institusi keluarga. Sikap ibu bapa yang terlalu obses mengejar materialistik bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi telah menjadikan mereka lalai dalam menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak. Remaja yang dahagakan kasih sayang pastinya akan mencari jalan mudah dengan mencari hiburan yang mampu meleraikan kegersangan mereka,dan ini akan memandu mereka ke kancah maksiat. Setelah terjebak ke kancah sosial yang tiada penamatnya itu,pastinya kes mengandung anak luar nikah akan terjadi. Jalan singkat yang difikirkan,pastinya pengguguran mahupun membuang sahaja bayi tersebut kerana gusar akan dicemuh oleh masyarakat.

Selain itu,sudah terang lagi bersuluh,pastinya kurang penghayatan terhadap nilai agama dan tiada pengetahuan tentang batas-batas pergaulan merupakan pemacu kepada polemik ini. Asas didikan agama yang mapan dan cukup adalah elemen yang terpenting ke arah memacu kehidupan seseorang manusia. Penghayatan terhadap nilai-nilai agama pula mampu menjadi benteng kepada individu itu bertindak atas norma kehidupan manusia kerana individu tersebut sedar akan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan seperti penzinaan yang pastinya akan mengundang kehamilan luar nikah. Maka,ketiadaan penghayatan terhadap nilai agama mampu mewujudkan polemik sosial ini.

Bagi membendung masalah ini dari terus menjadi barah dalam kalangan remaja kita,amnya,langkah yang spesifik,drastik dan holistik perlu diimplementasikan sewajarnya agar pemasalahan ini dapat diatasi. Perkara pertama yang perlu diberi perhatian adalah peranan ibu bapa remaja itu sendiri ke arah menyediakan didikan yang cukup terhadap anak-anaknya. Didikan haruslah diterapkan sejak kecil lagi sesuai dengan peribahasa ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Pendidikan yang diberikan haruslah seimbang dari aspek rohani dan jasmani supaya setelah dewasa kelak mereka mampu menghadapi segala anasir-anasir luar. Perhatian yang sepenuhnya juga harus diberikan agar anak-anak tidak terasa terabai dan dihargai. Pemerhatian juga perlu dilakukan sentiasa terhadap aktiviti kanak-kanak supaya terkecuali dari melakukan sebarang gejala negatif seperti seks bebas,seterusnya pembuangan bayi.

Akhir sekali,pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan juga perlu bekerjasama untuk membantu mengurangkan masalah ini. Baru-baru ini,cadangan penubuhan ‘Tabung DNA’ merupakan satu langkah yang perlu disokong oleh seluruh rakyat kerana menerusi pelaksanaan ini,ibu bapa yang terlibat dalam kes pembuangan bayi akan lebih mudah untuk dikesan kerana setiap bayi yang dilahirkan akan diambil sampel DNAnya untuk simpanan pihak hospital. Selain itu,pihak Kementerian Pelajaran dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan perlulah menggiatkan lagi program-program kesedaran yang sedia ada bermula dari sekolah rendah lagi agar kesedaran timbul lebih awal dalam diri pelajar. Hai ini dikatakan mampu menjadi perisai kepada mereka kerana telah mempunyai maklumat tentang perkara yang sepatutunya dilakukan. Jika perlu,pengenalan subjek pendidikan seks juga boleh diambil kira.

Kesimpulannya,isu pembuangan bayi ini haruslah diberi perhatian yang sewajarnya oleh setiap pihak supaya gejala ini tidak terus-menerus menjadi barah yang mampu menjejaskan imej negara satu hari kelak. Segelintir rakyat kita seolah-olah telah hilang pedoman diri sehingga sanggup menganiayai nyawa bayi yang tidak berdosa. Segala agenda dan langkah yang telah dirangka oleh kerajaan haruslah difahami dan dilaksanakan oleh semua pihak agar gejala pembuangan bayi tidak lagi menjadi nanah yang terus mencengkam kehidupan masyarakat.

LAMAN ORKID CIKGU YUSHANIZA
















CONTOH SOALAN PEMAHAMAN


Latihan Pemahaman

Baca petikan di bawah dan jawab soalan-soalan berikutnya.

PENULISAN buku ini secara jelasnya ditulis dengan objektif besar untuk menjadikan sebagai panduan kepada pelajar dan golongan akademik untuk menulis karya ilmiah menggunakan format yang seragam dan profesional.
Mengemukakan contoh serta rujukan yang lengkap kutipan dalam usaha untuk menyelaraskan format penulisan bersifat ilmiah.
Biarpun banyak format yang dikemukakan sebelum ini tidak banyak yang telah termaktub khusus untuk format penulisan ilmiah.
Penulisan karya yang ditulis dalam 13 bab besar hasil usaha oleh 8 orang tenaga pengajar Universiti Teknologi Malaysia ini harus mendapat pujian.
Pecahan bab terdiri daripada, Pengenalan: Penulisan Ilmiah, Pendekatan Penulisan, Rampai Penulisan Ilmiah, Pola Penulisan Ilmiah, Pedoman Tatabahasa Melayu dalam Penulisan, Laras Bahasa Ilmiah, Penomboran dan Susunan, Pemerengganan dalam Penulisan Ilmiah, Kutipan Dalam Penulisan Ilmiah, Ejaan dalam Penulisan, Tanda baca, Bibliografi dalam Penulisan Ilmiah dan Penyuntingan. Jika dilihat dari pecahan bab yang diutarakan hampir semua perkara besar atau mustahak dalam aspek penulisan ilmiah telah ditelusi. Justeru, tentunya ia lebih memudahkan pembaca mengikutinya secara berkesan.
Di dalam bab pertama Pengenalan: Penulisan Ilmiah, penulis telah menekankan etika penulisan ilmiah yang dilengkapi dengan rujukan daripada al-Quran dan menyorot beberapa penulisan ilmuan Islam berkaitan etika.
Etika penulisan ilmiah ini sebenarnya sangat penting diketahui sepenuhnya dalam memastikan penulisan yang benar-benar bertanggungjawab. Begitu juga dengan aspek penghayatan terhadap etika. Ini memandangkan etika yang telah digariskan perlu difahami dan dihayati atau dalam kata lain secara teori dan praktis.
Jika dlihat secara amnya corak penulisan buku ini menggunakan bahasa yang mudah dengan dibantu gambar rajah dan carta yang membolehkan pembaca lebih memahami isi kandungannya. Selain itu, contoh-contoh yang dikemukakan adalah jelas dan mudah difahami.
Penulis tidak ketinggalan memasukkan elemen kemahiran menulis serta penyuntingan. Kedua-dua unsur ini sememangnya amat penting dalam menterjemahkan cetusan idea secara lebih matang. Gabungan ini juga menjamin fakta yang diterangkan lebih padat dan dapat difahami.

1.
Wacana di atas merupakan sebuah
A. kritikan sastera
B komentar
C ulasan buku
D berita
E sastera

2. 
Fokus utama petikan wacana di atas ialah
A penghayatan terhadap isi buku
B buku dengan bahasa yang mudah, lengkap dengan gambar rajah
C buku panduan lengkap penulisan ilmiah
D mengenai etika penulisan
E kemahiran penulisan dan penyuntingan

3.
Pembaca boleh mengikuti buku ini secara berkesan kerana
A hampir semua perkara besar atau mustahak dalam aspek penulisan ilmiah telah ditelusi
B ia mengandungi 13 bab besar dengan 8 penulis
C kerana terdapat aspek penghayatan terhadap etika
D menggunakan bahasa yang mudah dengan dibantu gambar rajah dan carta

CONTOH SOALAN TATABAHASA


Latihan Tatabahasa

1
Perkataan "mempersendakan'' terdiri daripada beberapa morfem. Antara berikut pecahan manakah yang betul?
A {mempersenda} + {kan}
B {mem-}+{persenda} + {-kan}
C {memper-} + {senda} + {-kan}
D {mem-} + {per} + {senda} + {-kan}
E {mem}+{per-}+{sen-}+{da}+{-kan}

2.
Unit terkecil yang dikaji dalam bidang morfologi ialah
A fonem
B morfem
C frasa
D klausa
E perenggan

3.
Antara perkataan yang berikut, yang manakah tidak mengandungi bunyi diftong
I Buah
II Automatik
III Aising
IV Senarai
A I dan II sahaja
B II dan III sahaja
C III dan IV sahaja
D I, II dan III sahaja
E II, III, dan IV sahaja

4.
Antara perkataan yang berikut, yang manakah mempunyai konsonan pinjaman?
I Veto
II Akhbar
III Syampu
IV Hospital

5.
Yang manakah betul menunjukkan pemecahan suku  kata bagi perkataan ``mesyuarat''?
A KV + KV + KVK
B KV + KV + + V + KVK
C KVK + VV + KVK
D KV + KKV + KVK
E KVK + KVV + KVK

6.
Yang manakah antara senarai perkataan berikut merupakan bentuk dasar?
A menang, rakan, kering, bersih
B menangis, merakamkan, seruling, diadili
C berkata-kata, memperbesar, tertanya-tanya
D bertani, bertapa, petapa, kemudi
E dimakan, mencurigai, tersurat

7.
Kajian mengenai sintaksis sesuatu bahasa melibatkan pengkajian
I bentuk-bentuk ayat
II struktur ayat-ayat
III binaan ayat-ayat
IV makna perkataan
A I dan II sahaja
B II dan III sahaja
C III dan IV sahaja
D I, II dan III sahaja
E II, III dan IV sahaja

8.
Ayat manakah antara berikut mengandungi akhiran -kan yang membawa maksud ``perbuatan memberi manfaat kepada orang lain?''
I Encik Ali membelikan anaknya sebuah komputer
II Cikgu Atan menyerahkan laporan itu kepada pengetua
III Akan saya doakan anda semua berjaya dalam pelajaran.
IV Akar-akar kayu itu dicarikan oleh Tol man.
A I dan II sahaja
B I dan II sahaja
C I dan IV sahaja
D I, II dan III sahaja
E II, III dan IV sahaja

9.
Kata ``cantik'' alah golongan kata adjektif. Imbuhanbolehmenukar golongannya. Ynag manakah antara berikut menukar golongannnya kepada golongan kata kerja?
I kecantikan
II mencantikkan
III mempercantik
IV tercantik
A I dan II sahaja
B II dan III sahaja
C III dan IV sahaja
D I, II dan III sahaja
E II, III dan IV sahaja

10.
Antara berikut, ayat manakah ``-nya' ' digunakan sebagai kata pembenda?
I Tempat untuk pengajian diinstitusi pengajian tinggi tempatan sesungguhnya tidak mencukupi
II Nampaknya usaha kerajaan memulihkan penagihan dadah kurang memuaskan
III Malunya saya apabila dikatakan tidakbertanggungjawab oleh guru
IV Pulangnya dia ke kampung diambut dengan tangisan oleh ahli keluarganya.
A I dan II sahaja
B I dan III sahaja
C I dan IV sahaja
D II dan III sahaja
E III dan IV sahaja

KARANGAN


Karangan

1
Sukatan pelajaran Bahasa Melayu STPM menyatakan bahawa pelajar 
perlu menulis karangan yang panjangnya antara 650 hingga 700 patah 
perkataan.

2
Empat tajuk akan dikemukakan dan calon-calon perlu memilih satu 
daripada empat tajuk.

3
Sukatan pelajaran memperuntukkan 50 markah untuk karangan.

4
Terdapat empat jenis karangan, iaitu:
i. rencana
ii. laporan
iii. ceramah/syarahan/ucapan/pidato
iv memorandum

5
Karangan boleh dibahagikan kepada yang berformat atau tidak berformat. 
Sama ada ia berformat atau tidak, ia masih mempunyai struktur tertentu. 
Rumus yang paling umum untuk mencirikan karangan ialah, ia mempunyai 
pendahuluan, tubuh dan penutup. setiap bahagian itu mempunyai perenggan 
untuk menyatakan tiap-tiap unit pemikiran.

6.
Apakah yang perlu anda kuasai untuk menghasilkansebuah karya yang baik? 
Sebagai permulaan, anda perlu faham konsep wacana, laras dan retorik dengan 
baik, serta mempunyai asas tatabahasa yang mantap.

7.
Sepertimana yang dijelaskan dalam (5) perenggan ialah ``satu kumpulan 
gagasan (idea) yang didasari oleh satu gagasan utama (idea utama). perenggan merupakan satu unit fikiran yang lengkap. ''Ayat-ayat yang mengandungi idea 
utama dikenali sebagai ayat topik atau ayat judul. Ayat-ayat lain dalam sebuah 
perenggan dikenali sebagai ayat sokongan. Ayat-ayat ini  berfungsi menghuraikan, menyokong dan memperteguh idea utama dalam ayat topik.
Ayat Topik
Ayat yang menyatakan idea utama atau gagasan utama secara penyataan pendapat atau penyataan niat.
Ayat-ayat sokongan
Ayat-ayat yang menghuraikan, menyokong, atau memperjelaskan idea utama dalam ayat untuk  menjelaskan sesuatu. Contoh, statistik, atau petikan daripada sumber tertentu.
8.
Struktur karangan 1-6-1
Sebagai sebuah wacana, karangan terdiri daripada tiga bahagian iaitu pendahuluan tubuh karangan, dan penutup. Berasaskan panjang karangan yang dikehendaki oleh sukatan pelajaran, iaitu antara 650 hingga 700 patah perkataan, karangan anda sesuai menggunakan struktur 1-6-1, iaitu satu perenggan untuk pendahuluan, enam perenggan untuk tubuh karangan, dan satu perenggan penutup.

9.
Teknik yang berkesan untuk menulis karangan di peringkat tingkatan enam ialah menggunakan pendekatan penulisan akhbar, iaitu prinsip Piramid terbalik, atau Piramid songsang.

10
Perenggan pendahuluan mempunyai fungsi tarikan yang penting, yang akan menentukan sama ada pembaca berminat untuk meneruskan pembacaan atau tidak.

11.
Perenggan pendahuluan mesti menggambarkan tajuk karangan yang diberikan untuk anda buat. Ia merupakan gagasan idea yang menjadi inti kepada keseluruhan tubuh karangan anda.

12.
Perenggan penutup berbeza dengan perenggan lain kerana ia berfungsi menyimpulkan buah fikiran dalam satu atau dua perenggan sahaja.

13.
Keutuhan karangan merujuk kepada kebulatan dan kesepaduan karangan. Ia dicirikan oleh sifat-sifat kohesidan koheren. Kohesi merujuk kepada idea atau isi karangan yang dijalin dengan rapi. Koheren merujuk kepada kesinambungan ayat-ayat atau perenggan-perenggan yang membawa idea-idea yang dipersembahkan.

14.
Beberapa ciri berikut perlu diketahui oleh pelajar dalam proses memantapkan karangan:
i. Diksi - Pemilihan kata yang sesuai dengan tajuk serta laras karangan. Teknik penggunaan medan kata adalah penting. Daripada medan kata itu, anda boleh pula mencatatkan perkataan yang bersinonim, berantagonis dan sebagainya.
ii. Tatabahasa dan ejaan -  berhati-hati dengan tatabahasa kerana banyak markah akan ditolak jika berlaku banyak kesalahan tatabahasa. Tunjukkan kematangan anda berbahasa dengan menggunakan tatabahasa yang betul. Sebagai contoh:  bezakan dari dan daripada, ialah dengan adalah, dan sebagainya

15.
Persediaan mengarang mengandungi empat kemahiran penting, iaitu:
i. memahami soalan
ii. mengumpul idea dengan tajuk
iii. membuat medan kata/beberapa kata kunci
iv. menyusun idea-idea dan membuat rangka karangan