f Blog Cikgu Yushaniza-Bahasa Melayu

KARANGAN


Karangan

1
Sukatan pelajaran Bahasa Melayu STPM menyatakan bahawa pelajar 
perlu menulis karangan yang panjangnya antara 650 hingga 700 patah 
perkataan.

2
Empat tajuk akan dikemukakan dan calon-calon perlu memilih satu 
daripada empat tajuk.

3
Sukatan pelajaran memperuntukkan 50 markah untuk karangan.

4
Terdapat empat jenis karangan, iaitu:
i. rencana
ii. laporan
iii. ceramah/syarahan/ucapan/pidato
iv memorandum

5
Karangan boleh dibahagikan kepada yang berformat atau tidak berformat. 
Sama ada ia berformat atau tidak, ia masih mempunyai struktur tertentu. 
Rumus yang paling umum untuk mencirikan karangan ialah, ia mempunyai 
pendahuluan, tubuh dan penutup. setiap bahagian itu mempunyai perenggan 
untuk menyatakan tiap-tiap unit pemikiran.

6.
Apakah yang perlu anda kuasai untuk menghasilkansebuah karya yang baik? 
Sebagai permulaan, anda perlu faham konsep wacana, laras dan retorik dengan 
baik, serta mempunyai asas tatabahasa yang mantap.

7.
Sepertimana yang dijelaskan dalam (5) perenggan ialah ``satu kumpulan 
gagasan (idea) yang didasari oleh satu gagasan utama (idea utama). perenggan merupakan satu unit fikiran yang lengkap. ''Ayat-ayat yang mengandungi idea 
utama dikenali sebagai ayat topik atau ayat judul. Ayat-ayat lain dalam sebuah 
perenggan dikenali sebagai ayat sokongan. Ayat-ayat ini  berfungsi menghuraikan, menyokong dan memperteguh idea utama dalam ayat topik.
Ayat Topik
Ayat yang menyatakan idea utama atau gagasan utama secara penyataan pendapat atau penyataan niat.
Ayat-ayat sokongan
Ayat-ayat yang menghuraikan, menyokong, atau memperjelaskan idea utama dalam ayat untuk  menjelaskan sesuatu. Contoh, statistik, atau petikan daripada sumber tertentu.
8.
Struktur karangan 1-6-1
Sebagai sebuah wacana, karangan terdiri daripada tiga bahagian iaitu pendahuluan tubuh karangan, dan penutup. Berasaskan panjang karangan yang dikehendaki oleh sukatan pelajaran, iaitu antara 650 hingga 700 patah perkataan, karangan anda sesuai menggunakan struktur 1-6-1, iaitu satu perenggan untuk pendahuluan, enam perenggan untuk tubuh karangan, dan satu perenggan penutup.

9.
Teknik yang berkesan untuk menulis karangan di peringkat tingkatan enam ialah menggunakan pendekatan penulisan akhbar, iaitu prinsip Piramid terbalik, atau Piramid songsang.

10
Perenggan pendahuluan mempunyai fungsi tarikan yang penting, yang akan menentukan sama ada pembaca berminat untuk meneruskan pembacaan atau tidak.

11.
Perenggan pendahuluan mesti menggambarkan tajuk karangan yang diberikan untuk anda buat. Ia merupakan gagasan idea yang menjadi inti kepada keseluruhan tubuh karangan anda.

12.
Perenggan penutup berbeza dengan perenggan lain kerana ia berfungsi menyimpulkan buah fikiran dalam satu atau dua perenggan sahaja.

13.
Keutuhan karangan merujuk kepada kebulatan dan kesepaduan karangan. Ia dicirikan oleh sifat-sifat kohesidan koheren. Kohesi merujuk kepada idea atau isi karangan yang dijalin dengan rapi. Koheren merujuk kepada kesinambungan ayat-ayat atau perenggan-perenggan yang membawa idea-idea yang dipersembahkan.

14.
Beberapa ciri berikut perlu diketahui oleh pelajar dalam proses memantapkan karangan:
i. Diksi - Pemilihan kata yang sesuai dengan tajuk serta laras karangan. Teknik penggunaan medan kata adalah penting. Daripada medan kata itu, anda boleh pula mencatatkan perkataan yang bersinonim, berantagonis dan sebagainya.
ii. Tatabahasa dan ejaan -  berhati-hati dengan tatabahasa kerana banyak markah akan ditolak jika berlaku banyak kesalahan tatabahasa. Tunjukkan kematangan anda berbahasa dengan menggunakan tatabahasa yang betul. Sebagai contoh:  bezakan dari dan daripada, ialah dengan adalah, dan sebagainya

15.
Persediaan mengarang mengandungi empat kemahiran penting, iaitu:
i. memahami soalan
ii. mengumpul idea dengan tajuk
iii. membuat medan kata/beberapa kata kunci
iv. menyusun idea-idea dan membuat rangka karangan



PANTUN

BIMBINGAN BERKARYA - PANTUN


PENGENALAN
Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan, "Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau umpama." Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu panuntun yang bermaksud pembimbing/penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam masyarakat tersebut.
Sehingga hari ini, pantun sering digunakan dalam upacara peminangan dan perkahwinan atau sebagai pembuka atau penutup bicara dalam majlis-majlis rasmi.  Umumnya terdapat dua jenis utama pantun iaitu pantun berkait dan pantun tidak berkait.
Bilangan baris dalam setiap rangkap pantun dikenali sebagai kerat.  Lima bentuk utama pantun ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun dua belas kerat.  Pantun yang popular digunakan ialah pantun dua kerat dan empat kerat.
Setiap pantun mesti mempunyai pembayang dan maksud pantun.  Pembayang dalam setiap rangkap adalah separuh pertama daripada keseluruhan jumlah baris dalam rangkap berkenaan. Separuh kedua dalam setiap rangkap pantun pula ialah maksud atau isi pantun.
Antara ciri-ciri lain yang ada dalam sebuah pantun ialah pembayangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan alam dan persekitaran yang rapat dengan pengucapnya seperti yang terdapat dalam contoh pantun dua kerat berikut:
Sebab pulut santan terasa,
        Sebab mulut badan binasa. 
Rima pantun yang baik berakhir dengan ab,ab bagi pantun empat kerat dan a,a bagi pantun dua kerat. Selain daripada pembayang, maksud dan rima, pantun juga terikat dengan hukum suku katanya. Bagi pantun Melayu, suku kata untuk setiap baris ialah antara lapan hingga dua belas suku kata sahaja.
Melalui bentuknya yang kemas dan padat, pantun berjaya menjadi alat yang penting untuk menghibur, memberi nasihat, menduga akal, meluahkan perasaan dan menyedapkan cakap. Pantun turut berfungsi sebagai media untuk menyampaikan hasrat yang seni atau rahsia yang tersembunyi melalui penyampaian yang berkias.

KANDUNGAN PANTUN MELAYU
Pembayang atau sampiran
Pembayang terletak pada bahagian setengah pertama setiap rangkap pantun. Pembayang memainkan peranan untuk memberi persamaan bunyi/rima kepada maksud. Pembayang pada baris pertama hendaklah ada hubung kait dengan pembayang pada baris berikutnya dalam setiap rangkap pantun.
Maksud atau isi
Maksud atau isi terdapat dalam setengah bahagian kedua dalam setiap rangkap pantun. Pada bahagian inilah tersurat dan tersiratnya apa yang hendak disampaikan dalam pantun tersebut(tema).
Perkataan
Pantun biasanya mengandungi empat atau tiga patah perkataan pada tiap-tiap baris. Pantun yang baik memaparkan bilangan perkataan pada tiap-tiap baris yang sama bilangannya.
Suku kata
Tiap-tiap patah perkataan terdiri daripada tiga atau empat suku kata. Dalam tiap-tiap baris pula hendaklah mengandungi antara lapan hingga dua belas suku kata. Pantun yang baik mengandungi jumlah suku kata yang sama banyak.
Rima atau bunyi
Rima ialah bunyi yang sama pada bahagian tengah atau akhir pada tiap-tiap baris pantun.  Rima yang baik mempunyai bunyi yang sama dalam setiap rangkap pantun.  Rima pada baris pertama pembayang mestilah sama dengan rima baris pertama maksud dan begitulah seterusnya Rima pantun yang terbaik ialah a,b,a,b dan ada juga berima a,a,a,a. 
Pantun di bawah mengandungi 4 patah perkataan dan 9 suku kata setiap baris.Contoh pantun yang baik :
Ba/ik/ ber/galas/ ba/ik/ ti/dak/,
 Bu/li/-bu/li/ ber/ta/li/ be/nang/,
 Ba/ik/ ber/ba/tas/ ba/ik/ ti/dak/,
 A/sal/ bu/di/ sa/ma/ di/ke/nang/.

CIRI-CIRI PANTUN YANG BAIK
Pantun yang baik ialah pantun empat kerat yang mempunyai ciri-ciri berikut:
  • mengandungi 4 kerat/baris
  • jumlah perkataan dalam sebaris antara 4-5 patah perkataan
  • jumlah suku kata sebaris antara 8-12 suku kata
  • ada hubungan antara pembayang (2 baris di atas) dan maksud (2 baris di bawah)
  • bunyi rima akhir seuntai pantun itu mestilah sama- a,b,a,b .
  • bahasa yang halus, penuh kiasan dan sindiran serta banyak menggunakan unsur alam.
  • maksud isinya sarat dengan pengajaran, moral dan falsafah hidup
sarat dengan ciri-ciri tradisional-penggunaan rangkap, ada pembayang dan maksud, mempunyai nilai hidup masyarakat yang menggambarkan perspektif masyarakat yang melahir dan menggunakannya.

Contoh Pantun Nasihat

Pantun Nasihat




Pergi ke sawah menanam padi,
Singgah di sungai menangkap ikan;
Hidup hendaklah bersendikan budi,
Sifat sombong jangan amalkan.



Contoh Pantun Teka-teki dan Jawapannya


Terbang tinggi si burung helang
Hinggap di atas pohon meranti
Anak ramai ibunya seorang,
Bila bergesel berapi-rapi?

Jawapan: Mancis

Ada tubuh ada tangan,
Tiada kepala tiada kaki;
Sangat berguna waktu hujan,
Apakah dia yang dimaksudkan ini.

Jawapan: Baju Hujan

Buah budi bidara mengkal
Masak sebiji di tepi pantai
Hilang budi bicara akal
Buah apa tidak bertangkai?

Jawapan: Buah Hati

Budak-budak ramai di pekan
Hari raya membakar petas
Kalau adik pandai kiasan
Apakah buah gugur ke atas?

Jawapan: Buah Melaka

Tinggi duduk di atas sekali,
Bukan bulan bukan matahari;
Bila malam ia berseri,
Bila siang ia berganti.

Jawapan: Bintang

Tarik pukat dari pangkalan,
Gula Melaka dibuat inti;
Bila diikat ia berjalan,
Bila dibuka ia berhenti?

Jawapan: Kasut Bertali

Cik Limah bersama anak lelaki
Duduk makan keropok lekor
Yang mengejar tidak berkaki,
Yang dikejar tiada berekor?

Jawapan: Ular Dan Katak

Pergi umrah setiap tahun,
Moga sentiasa murah rezeki
Dalam batang ada daun,
Dalam daun ada isi?

Jawapan: Lemang

SAJAK

Pendeklamasi wajar meneliti kriteria-kriteria yang berikut:

1. Pemahaman
Pendeklamasi mesti benar-benar memahami dan dapat mentafsirkan maksud sajak yang henda dideklamasikan.

2. Peresapan
Sajak yang dideklamasikan mestilah sebati dengan diri pendeklamasi. Pendengar turut merasakannya.

3. Pengucapan
Penyampaian mestilah jelas dan menyakinkan pendengar. Tidak terdapat gangguan di mana-mana.

3.1 Daya Hafal
Ingatan mesti baik. Pembacaan lancar dan licin.
3.2 Daya Ucapan 
Semurni dan sebaik mungkin. Tidak terpengaruh dengan bahasa daerah atau bahasa asing. Intonasi atau rentak/lagu kalimat ada kaitan.
3.3 Irama
Menjiwai dan menghidupkan pendeklamasian sajak. Serentak dengan ucapan dan intonasi.
3.4 Batas Kalimat
Perhentian suara. Tujuannya untuk mengucapkan pokok-pokok fikiran dalam sajak dengan jelas.
3.5 Memek
Harus timbul secara bersahaja dan spontan. Menjadi petunjuk sejauh mana sajak sudah menjiwai pendeklamasi.
3.6 Gerak-geri
Tidak diwajibkan. Harus sesuai dengan keadaan

Contoh sajak :

Sajak Pendidikan

Ibu guru berkata kepada murid ;
Kemajuan akan berjalan pesat
Kita harus menguasai alat-alat Industri.
Contohlah Jerman, jepang, dan Amerika.

Dari jalan raya
Sang penganggur menjawab ;
Mengapa harus mencontoh barat
Apakah negeri ini telah plagiat.
Mengapa tak henti membeli rumus-rumus asing
Apakah kita tidak punya rumus sendiri.

Ini tatap aku bu ;
Aku korban pendidikan kiblat barat.
Gelap, pandanganku gelap
Pendidikan kita tidak memberi pencerahan.
Rumus-rumus asing tidak mendatangkan pekerjaan
Gelap, keluh kesahku gelap
Orang yang hidup di dalam pengangguran.

Kita telah keliru tafsir bu ;
Disana anak-anak memang disiapkan
Untuk menjadi alat-alat industri.
Dan industri mereka berjalan tanpa henti,
Tak ubah seonggok robot.
Sedangkan kita menjadi alat apa ?,
Kita hanya menjadi kuli industri
Dan alat birokrasi.

Ibu guru berkata kepada murid ;
Kemajuan akan berjalan pesat
Kita harus menguasai alat-alat Industri.
Contohlah Jerman, jepang, dan Amerika.


Contoh Mendeklamasikan Sajak

Sajak untuk Guru




 

PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU


Ahli bahasa membahagikan perkembangan Bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
  • Bahasa Melayu Kuno
  • Bahasa Melayu Klasik dan
  • Bahasa Melayu Moden

Bahasa Melayu Kuno

Merupakan keluarga bahasa Nusantara . Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Srivijaya , sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran . Penuturnya di Semenanjung , Kepulauan Riau dan Sumatera .
Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:
  • Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
  • Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat.
  • Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa  kata dan ciri-ciri keilmuan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:
  • Pengaruh agama Hindu
  • Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
  • Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.
Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:
  • Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
  • Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
  • Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
  • Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)
Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.
Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:
  • Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
  • Susunan ayat bersifat Melayu
  • Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
  • bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
  • Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
  • Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik

Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13.
Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.
Terdapat tiga batu bersurat yang penting:

a. batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)
  • ditulis dalam huruf India
  • mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit.
  • bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)
  • masih memakai abjad India
  • buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat
c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)
  • ditulis dalam tulisan Jawi
  • membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.
Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.

Bahasa Melayu Klasik

Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:
  • Zaman kerajaan Melaka
  • Zaman kerajaab Acheh
  • Zaman kerajaan Johor-Riau
Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.
Ciri-ciri bahasa klasik:
  • ayat: panjang,  berulang, berbelit-belit.
  • banyak ayat pasif
  • menggunakan bahasa istana
  • kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
  • banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
  • ayat songsang
  • banyak menggunakan partikel "pun'' dan "lah''

Bahasa Melayu Moden

Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.
Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.
Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.
Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.